Suami Kesal Dakwa HUSM Cuai Sebabkan Kematian Isteri

KOTA BAHARU, 23 Sept (Bernama) — Seorang suami Khamis meluahkan kekesalan terhadap pihak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian yang didakwa cuai dan lambat memberi rawatan kepada isterinya yang bersalin sehingga menyebabkan kematian.

Musa Abdul Kadir, 44, berkata isterinya, Aumil Khairri Abd Razak, 44, yang merupakan seorang guru, maut selepas menjalani pembedahan kali ketiga untuk mengeluarkan kain kapas yang tertinggal di dalam rahim selepas melahirkan bayi keempatnya pada 17 Ogos lalu.

Aumil Khairri disahkan meninggal dunia dua hari lepas, selepas dua minggu koma di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

“Isteri saya melahirkan anak melalui pembedahan kira-kira pukul 7.03 malam, 17 Ogos lalu di hospital itu.

“Selepas melahirkan anak itu, isteri saya mengadu sakit hampir beberapa hari dan pada hari kelima selepas bersalin, beliau mengadu sakit keterlaluan menyebabkan saya memaklumkan kepada doktor agar dilakukan pemeriksaan segera terhadap keadaan isteri saya itu,” katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata selepas memaklumkan perkara berkenaan, pemeriksaan telah dilakukan terhadap isterinya selain menjalani X-Ray.

“Selepas ujian X-Ray, saya dimaklumkan bahawa ada objek tertinggal di dalam perut isteri saya dan doktor kemudian meminta kebenaran saya untuk menjalani pembedahan kali kedua yang dilakukan pada 22 Ogos iaitu enam hari selepas pembedahan pertama,” katanya.

Katanya pada pembedahan kali kedua itu doktor berjaya mengeluarkan dua keping kain kapas yang tertinggal di sebelah kiri dan kanan rahim isterinya.

Bagaimanapun katanya keadaan isterinya dilaporkan kritikal menyebabkan isterinya itu terpaksa dimasukkan ke ICU selama sehari untuk rawatan lanjut kerana dikatakan mengalami masalah di dalam perut.

“Selepas dipindahkan semula ke wad bersalin, keadaannya semakin teruk apabila dia mengadu sakit yang amat sangat sehingga adakalanya meracau seperti diserang histeria dan doktor memberinya ubat tahan sakit sebelum dia tiba-tiba koma tiga hari selepas pembedahan kedua itu,” katanya.

Musa berkata apabila koma, isterinya sekali lagi dipindahkan ke ICU dan terpaksa makan dan minum menggunakan tiub dan pada masa yang sama perut isterinya kelihatan semakin membesar dan kembung.

Beliau meminta doktor menjalankan pemeriksaan dan doktor memutuskan untuk membuat pembedahan kali ketiga kerana difahamkan terdapat jangkitan kuman di dalam perut isterinya.

Beliau berkata pembedahan ketiga kemudian dilakukan pada 7 September dan dimaklumkan terdapat beberapa kebocoran di usus isterinya.

Musa mendakwa, selepas kematian isterinya, beliau cuba mendapat maklum balas daripada doktor terbabit bagaimanapun mereka dikatakan enggan memberi kerjasama.

Berikutan kejadian itu, Musa membuat laporan polis di Balai Polis Kubang Kerian, semalam dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap HUSM.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s