Ibu dakwa doktor punca anak cacat

Oleh Noor Ain Bujang

JOHOR BAHRU: Seorang ibu, Fazidah Abdullah, 27, mendakwa kelewatan seorang doktor pelatih Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini membuat keputusan untuk membantu proses bersalinnya kira-kira dua bulan lalu menyebabkan bayinya terpaksa menderita seumur hidup kerana mengalami masalah kerosakan saraf otak.

Fazidah berkata, anaknya, Harry Adam Jamaluddin, yang sepatut dilahirkan dalam keadaan sihat pada 5 Mac lalu kini dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ selain terpaksa bergantung kepada bantuan oksigen di HSA selama dua minggu.

Lebih malang, beliau berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu juga dikatakan berisiko menjadi lumpuh seluruh badan sepanjang hayatnya dan peluang untuk pulih adalah tipis berikutan mengalami masalah saraf otak yang serius.

“Harry tidak mungkin menimpa nasib seumpama itu sekiranya pihak pengurusan hospital tanggungjawab dan telus merawat ibu bersalin,” katanya di pejabat Berita Harian, di sini, semalam.

Fazidah berkata, masalah bermula selepas pemeriksaan jantung yang dilakukan di HSA pada 4 Mac lalu menunjukkan jantung bayi dalam kandungannya berada dalam keadaan yang lemah.

Suri rumah itu mendakwa, dia dimaklumkan seorang doktor pelatih bahawa anaknya sudah membuang air besar dalam kandungan dan ia menyebabkan beliau semakin bimbang kerana keadaan itu mungkin boleh mengakibatkan bayinya lemas.

Bagaimanapun, beliau berkata, doktor berkenaan marah apabila beliau meminta segera dibedah, kemudian meninggalkannya yang kesakitan selama dua jam di wad itu.

Katanya, doktor pelatih yang cemas dan kemudian meminta bantuan doktor pelatih lelaki lain sebelum memutuskan supaya dia perlu menjalani pembedahan dengan segera.

Beliau berkata, dia juga terpaksa menunggu selama 15 minit berikutan semua bilik bersalin dewan bedah dikatakan penuh.

“Saya terkilan apabila diberitahu suami keesokannya mengenai keadaan anak kami ketika dia dilahirkan kira-kira jam 4.48 pagi.

“Seluruh anggota badannya dikatakan kebiru-biruan dan hanya bernyawa selepas 15 minit diberikan bantuan pernafasan dan lebih menyedihkan, tindak balas Harry tidak seperti bayi lain kerana tidak boleh menangis atau menggerakkan anggota badan,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Tampoi, di sini pada 10 Mac lalu.

Fazidah berkata, dia dan suaminya, Jamaluddin Ahamed, 40, tidak dapat menahan sebak apabila Harry dikatakan mungkin diserang lumpuh akibat masalah saraf otak.

Sementara itu, jurucakap HSA berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan mengenai aduan dikemukakan suri rumah berkenaan.

Beliau berkata, sebarang keputusan siasatan dijalankan itu bergantung kepada pihak Kementerian Kesihatan kerana pihak hospital tidak boleh mengenakan sebarang tindakan tanpa arahan kementerian.

“Pihak pengadu tidak perlu bimbang kerana siasatan sudah dijalankan. Hanya kementerian berhak mengambil tindakan berdasarkan keputusan siasatan,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s