Demam

Apakah yang dimaksudkan dengan demam?

Hampir semua individu akan mengalami demam semasa hayat mereka dan ia merupakan masalah yang sangat biasa dialami semua orang terutama kanak-kanak.

Demam adalah satu gejala dan bukannya penyakit. Ia ditunjukkan sebagai suhu badan yang meningkat luar biasa tinggi. Ia merupakan tanda meningkatnya nilai sasaran termoregulator (pengawalan suhu) badan. Sebenarnya ia adalah salah satu cara badan anda melawan penyakit.

Apakah suhu badan yang normal dan abnormal (luar biasa)?

Purata suhu badan yang normal ialah 36.7 0C (julat 36-37.4 0C). Suhu normal di bahagian rektum atau faraj ialah 0.5-1.0 0C lebih tinggi daripada suhu oral (di dalam mulut). Manakala suhu normal ketiak adalah lebih rendah 0.5-1.0 0C berbanding suhu oral. Suhu rektum pula adalah lebih tepat jika dibandingkan dengan suhu oral.

Oleh itu, demam secara amnya merujuk kepada suhu oral melebihi 37.8 0C, suhu rektum melebihi 38.3 0C atau suhu ketiak yang lebih tinggi daripada 37 0C.

Bagaimanapun, suhu badan yang normal berbeza-beza mengikut umur individu, tekanan fizikal dan emosi yang dihadapi, suhu persekitaran, waktu dan bahagian anatomi tempat suhu diambil.

Mengapa perlu memahami demam?

Kita sepatutnya mengambil berat mengenai gejala demam ini kerana ia boleh memberi maklumat penting tentang perubahan status klinikal pesakit dan kehadiran sesuatu penyakit terutamanya jangkitan kuman. Walau bagaimanapun, darjah peningkatan suhu tidak semestinya menggambarkan keterukan sesuatu penyakit.

Secara amnya, demam sebagai tindak balas kepada sesuatu keadaan/penyakit adalah lebih ketara berlaku di kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa. Ia juga lebih merisaukan apabila berlaku di kalangan kanak-kanak.

Apabila suhu meningkat lebih daripada 40 0C, rawatan gejala mungkin perlu dilakukan terutama jika ianya berpanjangan. Tetapi jika suhu melebihi 41 0C, demam yang dialami boleh dianggap sebagai kes kecemasan perubatan.

Bagaimana suhu disukat?

Sesiapa sahaja boleh menyukat suhu dengan menggunakan termometer yang bersesuaian. Semasa sakit, termometer yang sama patut digunakan kerana ketepatan termometer berbeza-beza mengikut jenisnya. Termometer kaca mengandungi merkuri dan termometer elektronik biasa digunakan untuk menyukat suhu. Termometer kaca perlu dibasmi kuman setiap kali sebelum digunakan. Penggunaan penutup pakai buang pada termometer menyingkirkan keperluannya untuk di basmi kuman selepas digunakan. Termometer oral dan rektum tidak sepatutnya digunakan silih berganti.

Untuk memastikan bacaan yang tepat, individu tidak seharusnya terlibat dalam aktiviti fizikal yang kuat, memanaskan atau menyejukkan ruang mulut dengan merokok atau meminum minuman panas atau sejuk sekurang-kurangnya 5 -20 minit sebelum suhu badan diambil.

Sebelum menggunakan termometer kaca, kalibrasi perlu dilakukan dengan memutarkannya separas dengan mata untuk memastikan bacaan suhu yang ditunjukkan pada termometer berada di bawah 35.5 0C. Jika bacaan melebihi paras ini, goncang termometer dengan cepat sehingga paras merkuri turun di bawah paras 35.5 0C. Kemudian letakkan termometer di bawah lidah iaitu dengan menyengetkannya sedikit ke bahagian tepi mulut dan biarkan selama 2-4 minit.

Apakah penyebab demam yang utama?

Demam boleh merupakan gejala kepada:

  • Jangkitan bakteria, virus, rikettsiae, fungus, parasit.

  • Penyakit Autoimun: Contohnya demam Reumatik Vaskulitis, Artritis Reumatoid dewasa, Eritematosus Lupus Sistemik (SLE – Systemic Lupus Erythematosus).

  • Penyakit sistem saraf pusat: Contohnya kecederaan kepala, kecederaan tulang belakang dan pendarahan serebrum (bahagian otak utama).

  • Penyakit Neoplastik Malignan seperti Metastasis tumor ke hati, Neoplasma Primer (contoh: kolon dan rektum, hati, buah pinggang).

  • Penyakit dalam darah seperti Limfoma, Lleukemia, Anemia Hemolisis.

  • Penyakit kardiovaskular seperti jangkitan Miokardium, Embolisme Pulmonari.

  • Penyakit Gastrousus seperti hati bernanah/inflamasi, Hepatitis Alkoholik, penyakit keradangan usus.

  • Penyakit Endokrin seperti Hipertiroidisme, Feokromositoma.

  • Penyakit yang disebabkan oleh agen kimia seperti tindak balas ubat (Quinidine, Nifedipine, Penisilin-G, Ampisilin, Vancomycin, Bleomycin, Carbamazepine) dan Hipertermia Malignan disebabkan pembiusan.

  • Penyakit-penyakit lain seperti kecederaan pada tisu, Hematoma, demam Mediterranean keluarga.

Pengurusan sendiri

  • Anda dinasihatkan supaya meminum banyak air, terutama air kosong untuk menggantikan cecair dan elektrolit yang telah hilang. Awasi tanda-tanda dehidrasi yang mungkin berlaku.

  • Catatkan bacaan suhu setiap 2 jam dan jika perlu catatkan setiap kali berlaku perubahan gejala. Kekerapan menyukat suhu mungkin tidak disukai oleh kanak-kanak tetapi perubahan tingkah laku dan keluhan mereka boleh menjadi panduan untuk memberi ubat.

  • Bagi demam yang menyebabkan ketidakselesaan, lapkan badan dengan air suam dan ambil Parasetamol atau ubat antipiretik lain. Jangan memberi aspirin kepada kanak-kanak atau remaja yang berumur di bawah 20 tahun.

Berjumpalah doktor sekiranya….

  • Demam melebihi 40 0C yang tidak surut walaupun selepas 2 jam rawatan diberikan di rumah.

  • Demam yang berterusan: Banyak penyakit yang berpunca dari virus seperti selsema menyebabkan demam dengan suhu setinggi 39 0C atau lebih untuk jangka waktu yang singkat (12-24 jam).

  • Demam disertai dengan tanda-tanda jangkitan bakteria yang lain.

  • Demam yang dikaitkan dengan gejala yang mengganggu atau sukar dijelaskan.

Secara amnya, demam merupakan gangguan yang tidak berjangkit dan tidak merbahaya. Maka tujuan utama rawatan ialah untuk mengurangkan/melegakan ketidakselesaan yang dirasai. Dengan itu pendekatan sederhana bagi rawatan antipiretik (mengurang atau melegakan demam) adalah disyorkan. Secara amnya, ubat Asetaminofen atau Parasetamol merupakan agen antipiretik pilihan. Namun ubat-ubat ini perlu gunakan dengan berhati-hati untuk memperolehi kesan antipiretik yang maksimum dan mengelakkan sebarang kesilapan tidak sengaja dari berlaku seperti dos berlebihan dan keracunan.

 

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: